Sejarah Maktab Mahmud Yan

Logo Maktab Mahmud Yan
PENGENALAN

MAKTAB MAHMUD YAN ditubuh secara rasminya pada tarikh 01 Februari 1999 selepas termetrai perjanjian di antara Koperasi Sekolah Agama Al-Tarbiyah Al Auladiah Al-Diniah dengan Lembaga Maktab Mahmud Negeri Kedah Darul Aman. Melalui perjanjian tersebut pihak koperasi telah bersetuju untuk menyerah kuasa mengguna-pakai, mentadbir dan mengurus tanah dan prasarana yang ada di atas tanah milik mereka kepada Lembaga Maktab Mahmud. Majlis yang bersejarah itu telah disaksikan sendiri oleh Tan Sri Dato’ Seri Sanusi B. Junid, Menteri Besar Kedah Darul Aman pada masa itu yang secara kebetulan anak jati Kampung Acheh, Yan.


Lokasi Maktab Mahmud Yan yang sinonim dengan pemandangan indah Gunung Jerai serta berhampiran pusat peranginan Titi Hayun, Tangga Kenari 1000 tahun, Air Terjun Seri Perigi. Di samping itu, terdapat banyak pusat/ kem untuk rekreasi, latihan dan perkhemahan yang sesuai dijadikan kem motivasi, jatidiri, hari keluarga, latihan kepimpinan dan sebagainya untuk pelajar sekolah, universiti, organisasi, jabatan kerajaan/ swasta dan lain-lain. Kemudahan penginapan chalet, homestay dan kolam mandi turut disediakan kepada pelancong.

                        Bermulalah satu detik baru sejarah pendidikan Maktab Mahmud dengan kewujudan cawangan selepas lebih daripada enam puluh tahun Maktab Mahmud Alor Star bergerak sebagai sekolah agama negeri secara sendirian mengharungi arus pendidikan di Negeri Kedah. Dengan keazaman dan keiltizaman yang jitu seluruh warga Maktab Mahmud Yan, kecemerlangannya terus terukir di dalam lipatan sejarah pendidikan negeri Kedah. Anak-anak didik Maktab Mahmud Yan walaupun bilangan mereka kecil, namun mampu berdiri sama tinggi dengan pelajar-pelajar dari sekolah yang sudah mantap di arena pendidikan.
  

            Maktab Mahmud Yan digerakkan oleh 23 orang guru termasuk Pengetua, Penolong Kanan Akademik, Penolong Kanan HEM, Penolong Kanan Ko-kurikulum, serta dibantu oleh 8 orang staf sokongan. Dengan semangat kerja berpasukan, segala program yang dirancang dapat digerakkan dengan sebaik mungkin. Para pelajar yang berjumlah seramai 301 orang sentiasa memberi sokongan membantu pihak sekolah merealisasikan agenda kecemerlangan ummah.

SISTEM PENDIDIKAN

Sebagai sebuah sekolah agama yang terulung di Negeri Kedah Darul Aman, Maktab Mahmud menjadikan Bahasa Arab sebagai bahasa utama di dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Sehubungan dengan itu mata pelajaran yang ditawarkan adalah berbeza daripada sekolah menengah biasa, di mana penekanan yang lebih tinggi di dalam bidang agama diberi keutamaan di samping itu sekolah ini juga turut memberi perhatian sepenuhnya mengenai kecemerlangan pembentukan individu muslim mithali.

Peperiksaan Awam:

Tingkatan 3
Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3)

Tingkatan 4               
Sijil Menengah Agama Maktab Mahmud (SMAMM)

Tingkatan 5               
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

Tingkatan 6
Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)
( di Maktab Mahmud Alor Setar, Maktab Mahmud Pokok Sena & Maktab Mahmud Pendang)


Sukatan Pelajaran:

Bidang Akademik

Menggunakan sukatan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Mata pelajaran yang dipelajari adalah seperti;

  • Bahasa Melayu
  • Matematik
  • Bahasa Inggeris
  • Bahasa Arab
  • Sains
  • Geografi
  • Sejarah
  • Pendidikan Islam
  • Matematik Tambahan
  • Prinsip Akaun
  • Ekonomi Asas
  • Kemahiran Hidup Bersepadu
  • Perdagangan
  • Pendidikan Syariah Islamiah
  • Pendidikan Al-Quran & As-Sunnah
  • Pendidikan Jasmani & Pendidikan Kesihatan.

Bidang Agama
Menggunakan sukatan Kurikulum Baru Dini (KBD) yang diaplikasikan di Universiti Al-Azhar. Mata pelajaran yang dipelajari adalah seperti;

Bidang Usuluddin:
  • Tafsir
  • Hadis
  • Tauhid
  • Sirah/ Tarikh Islam
  • Akhlah Islamiah
Bidang Syariah:
  • Feqah
  • Al-Quran & Tajwid
  • Usul Fiqh
  • Feqah & Faraid
 Bidang Bahasa Arab:
  • Mutalaah
  • Adab & Nusus
  • Nahu & Sorof
  • Balagahah
  • Tahbib Lughah

Selain itu, pelajar tingkatan 1 & 2 diwajibkan mengikuti kelas Tahfiz Al-Quran pada waktu
petang setiap hari Selasa selepas sesi persekolahan.

FALSAFAH

Pendidikan di Maktab  Mahmud adalah usaha berterusan untuk membudayakan ilmu, kemahiran, dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah bagi membentuk keperibadian muslim yang sejati berasaskan akhlak Islam, kecemerlangan diri dan pandangan hidup   sebagai hamba dan khalifah Allah S.W.T.; Usaha ke arah ini akan melahirkan pelajar yang berjaya , beramanah dan bertanggungjawab untuk membangunkan agama dan ummah serta memakmurkan negara bagi mencapai keredaan Allah S.W.T.

AKTIVITI HARIAN
  • Pembelajaran waktu persekolahan.
  • Prep petang dan malam.
  • Tuisyen selepas waktu persekolahan.
  • Solat Berjemaah 5 waktu.
  • Bacaan al Mathurat selepas solat Subuh dan Asar.
  • Bacaan Surah Al Waqiah dan Al Mulk waktu malam selepas solat Isyak.
  • Kuliah/ pengajian Kitab Turath/ agama antara Maghrib dan Isyak.
  • Riadah selepas Asar.

AKTIVITI KECEMERLANGAN AKADEMIK
  • Tuisyen mingguan.
  • Kem Kecemerlangan PT3 dan SPM setahun sekali.
  • Bengkel Perancangan Hala Tuju setahun sekali untuk pelajar PT3 dan SPM.
  • Klinik Pemulihan Subjek.

AKTIVITI PENGUKUHAN JATIDIRI
  • Dinamika Usrah seminggu sekali.
  • Hafazan Surah Pilihan seminggu sekali.
  • Kolokium Penghayatan Ilmu 4 kali setahun.
  • Ceramah Motivasi 2 bulan sekali.
  • Qiyamullail sebulan sekali.
  • Puasa Sunat sebulan sekali.
  • Sesi interaksi dengan bekas pelajar cemerlang Maktab Mahmud Yan.

 AKTIVITI KECEMERLANGAN FIZIKAL
  • Ekspedisi mendaki 1000 anak Tangga Kenari.
  • Jungle trekking.
  • River trekking.
  • Perkhemahan Perdana peringkat sekolah/ asrama setahun sekali.
  • Water confidence
  • Temasya sukan tahunan.
  • Sukan peringkat Maktab Mahmud, Majlis Agama Islam Kedah & JAKIM.




Ulasan

Catatan Popular