Sejarah Penubuhan Markaz Al-Ghazali, Maktab Mahmud Yan

Markaz Al-Ghazali, Surau Nyak Ali Aisyah di Maktab Mahmud Yan
Perancangan pembinaan surau Maktab Mahmud Yan bermula seawal penubuhan sekolah ini iaitu semenjak tahun 2000 lagi. Pengetua pada masa itu iaitu Ustaz Abdul Jamil Mohamad telah mengambil inisiatif menubuhkan Jawatankuasa Pembinaan Surau Maktab Mahmud Yan yang dianggotai oleh beberapa orang guru dan waris pelajar. Beberapa usaha telah dibuat untuk mencari dana awal bagi mengisi Tabung Pembinaan Surau ini. Proses mendapatkan kelulusan daripada Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) telah diusahakan dan pada tahun berikutnya Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) telah memberi kelulusan untuk Maktab Mahmud Yan menjalankan kutipan derma bagi mengisi tabung pembinaan surau ini.

Sokongan daripada penduduk Kampung Acheh sangat memberansangkan apabila salah seoarang penduduk iaitu Encik Hamdi dan keluarganya telah berbesar hati mewakafkan tanah bagi tujuan pembinaan surau Maktab Mahmud Yan di satu lokasi yang kedudukannya di seberang jalan bertentangan dengan sekolah. Majlis pecah tanah pembinaan surau di atas tanah wakaf tersebut telah disempurnakan oleh Dato Seri Syed Razak Syed Zain Menteri Besar kedah pada masa itu.

Dalam majlis pecah tanah itu Dato Seri Syed Razak Syed Zain telah berjanji untuk menggunakan peruntukan kewangan kerajaan negeri bagi menjayakan pembinaan surau tersebut. Dengan itu Pihak Lembaga Maktab Mahmud telah mengarahkan agar kutipan sumbangan untuk Tabung Pembangunan  Surau Maktab Mahmud Yan di hentikan kerana pihak UPEN akan menyalurkan peruntukan kewangan bagi menyempurnakan pembinaan surau tersebut.  

Setelah beberapa tahun berlalu projek pembinaan surau Maktab Mahmud Yan oleh kerajaan negeri terpaksa ditangguhkan kerana penyaluran  peruntukan kewangan kerajaaan negeri kepada projek pembinaan prasarana yang yang lebih penting di beberapa Maktab Mahmud lain  perlu disegerakan dan diberikan keutamaan. Dengan penangguhan ini maka Jawatankuasa Pembinaan Surau Maktab Mahmud Yan  telah dihidupkan semula oleh Ustaz Abdullah Harun  pengetua pada masa itu.

Pelan pembinaan surau yang lebih konkrit telah disambung oleh Ust Mohd Asri Saad yang menggantikan Ustaz Abdullah Harun sebagai pengetua Maktab Mahmud Yan pada tahun 2011. Usaha usaha mencari dana dan sumbangan derma terus dipergiatkan. Mesyuarat agung PIBG kali ke 12 telah memutuskan bahawa setiap seorang waris perlu mengambil tanggungjawab menjalankan usaha mencari antara 500 ke 1000 ringgit bagi mengisi tabung pembinaan surau Maktab Mahmud Yan.





Selepas penyerahan dokumentasi dan pelan perancangan pembinaan surau Maktab Mahmud Yan kepada Lembaga Maktab Mahmud, maka pihak Lembaga telah mengarahkan agar pembinaan surau diubah daripada  tapak yang diwakafkan oleh keluarga Encik Hamdi ke tapak baru yang lokasinya terletak dalam kawasan tanah 15 relung hak milik kerajaan negeri yang telah sah dibuat pengambilalihan beberapa tahun sebelum itu. Berbekalkan kekuatan kewangan hasil kutipan derma sebanyak lebih 200 ribu maka pelan pembinaan surau Maktab Mahmud Yan yang lebih lengkap telah diusahakan. Pihak Jawatankuasa Pembinaan Surau Maktab Mahmud Yan telah membuka tender kepada beberapa orang kontraktor yang berminat untuk melaksanakan projek pembinaan tersebut. 



Ketika proses pemilihan dokumen tender inilah pihak Jawatankuasa Pembinaan Surau Maktab Mahmud Yan telah dikunjungi oleh seorang usahawan yang merupakan anak jati kampung Acheh yang kini menetap di Kuala Lumpur. Melihat dan menyedari kesungguhan pihak jawatankuasa pembinaaan surau Maktab Mahmud Yan yang telah berusaha hampir 13 tahun untuk mencari dana bagi membina surau ini, beliau telah menawarkan diri untuk menanggung keseluruhan kos pembinaan surau Maktab Mahmud Yan yang telah tertangguh pembinaannya selama hampir 13 tahun.




Di atas persetujuan kedua-dua pihak antara beliau  dan Jawatankuasa Pembinaan Surau Maktab Mahmud Yan maka pihak jawatankuasa pembinaan surau telah bersetuju untuk menggunakan hasil kutipan yang telah terkumpul selama ini untuk menampung kos perbelanjaaan bagi kerja kerja penambakan dan penyediaan kelengkapan P.A sistem surau manakala kos pembinaan bangunan surau ditanggung sepenuhnya oleh beliau. Di atas persetujuan tersebut maka bermulalah pembinaan surau Maktab Mahmud Yan pada bulan Jun 2014 dengan keluasan binaan 70 x 110 kaki persegi yang mampu menampung jumlah jemaah sehingga 800 orang pada satu satu masa.


Kini, selepas setahun proses pembinaannya maka tersergamlah sebuah surau berwarna putih yang dinamakan Musolla Wakaf Nyak Ali Aishah. Sebagai pengukuhan komitmen dan penyatuan azam untuk mengimarahkan muka bumi ini dengan keikhlasan ibadah kepada Allah. Maka pada tarikh 28 Mei 2015 satu majlis penyerahan secara rasmi Musolla Wakaf Nyak Ali Aisyah daripada  beliau kepada Maktab Mahmud Yan telah dengan sempurnanya dirasmikan oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral  (B) Dato Seri Jamil Khir bin Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Yan.

Semoga segala usaha dan sumbangan yang telah diberikan oleh semua pihak dalam apa juga bentuk sejak dari hari permulaan ilham pembinaan surau ini tercetus sehinggalah tersergamnya sebuah surau yang indah pada hari ini akan diangkat untuk dinilai sebagai Ibadah di sisi Allah S.W.T.

Logo Rasmi Markaz Al-Ghazali
Bagi melahirkan generasi yang ditarbiah atas Manhaj Ahlus Sunnah Wal Jamaah, maka pusat pengajian Markaz Al-Ghazali diwujudkan dan ditempatkan di Musolla Wakaf Nyak Ali Aishah sebagai wadah untuk mengekalkan serta meneruskan pengajian kitab turath Islam di bumi Yan ini. Bermula bulan Jun 2015, Markaz Al-Ghazali mengadakan daurah atau diskusi ilmiah pertama di musolla ini dan mendapat sambutan ramai di luar jangkaan. Terdapat peserta-peserta daurah yang datang jauh luar dari negeri Kedah. Mudahan-mudahan penubuhan pusat pengajian ini dapat melahirkan pelajar yang berilmu khususnya serta mendidik masyarakat amnya dengan landasan syariat, aqidah serta akhlak yang berteraskan  Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Antara daurah/ pengajian dan diskusi ilimiah yang telah dianjurkan oleh Markaz Al-Ghazali;




Antara aktiviti-aktiviti pelajar Maktab Mahmud Yan di Surau Nyak Ali Aisyah:

- Dinamika Usrah seminggu sekali.
- Hafazan Surah Pilihan seminggu sekali.
- Kolokium Penghayatan Ilmu 4 kali setahun.
- Ceramah Motivasi 2 bulan sekali.
- Qiyamullail Perdana sebulan sekali.
- Bacaan al-Mathurat setiap Subuh dan Asar.
- Bacaan Surah Al-Waqiah dan Al-Mulk waktu malam.
- Kuliah agama antara Maghrib dan Isyak.
- Daurah/ Pengajian Kitab Turath secara berkala.









Ulasan

Catatan Popular